Tuesday, December 25, 2007

TAKAFUL MENURUT ISLAM

Takaful merupakan satu usaha kerjasama, lindung-melindungi dan tolong-menolong di antara anggota masyarakat yang menginginkan perlindungan dalam menghadapi kemungkinan malapetaka atau bencana. Usaha ini dikendalikan oleh Syarikat Takaful sebagai pengusaha melalui skim dan pelan takuful yang disusun dengan berlandaskan hukum-hukum syariat. Usaha bagi mewujudkan kerjasama dan lindung-melindungi ini selari dengan tuntutan Islam sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan”.
Perjanjian antara Syarikat Takaful dengan peserta adalah perjanjian Al-Mudharabah. Syarikat Takaful bertindak sebagai Al-Mudharib iaitu bagi pihak Pengusaha yang menerima wang caruman peserta-peserta bagi menguruskan skim dan pelan takaful, membuat pelaburan dan urusan-urusan takaful yang disusun berlandaskan hokum tang berkaitan dengannya. Sementara itu, peserta pula bertindak sebagai Sahib Al-Mal (pemilik harta) yang menyerahkan wang caruman (Ra’is Al-Mal) mereka untuk diuruskan dalam skim dan pelan takaful serta membuat pelaburan. Perjanjian pelan takaful tersebut menerangkan dengan jelas beberapa perkara.
Antaranya ialah:

a) Pembahagian keuntungan dari perjalanan skim dan pelan takaful antara Syarikat Takaful (Pengusaha) dan peserta (pemilik) harta secara betul.
b) Cara bagaimana Syarikat Takaful menggunakan wang caruman peserta untuk ditadbir dan dilabur dan sebahagiannya disumbangkan bagi menolong rakan-rakan peserta yang ditimpa kesusahan atau malapetaka.
c) Penjelasan tentang hak-hak peserta serta syarat dengan perlindungan yang diberi dan berhubung dengan apa-apa manfaat yang akan mereka perolehi daripada skim dan pelan berkenaan.
Jenis Takaful

Terdapat 2 jenis Takaful yang boleh disediakan oleh syarikat-syarikat takaful iaitu:

i) Takaful Am
ii) Takaful Keluarga

i) Takaful Am

Takaful Am ialah sejenis perlindungan yang boleh disertai oleh orang perseorangan, syarikat, pertubuhan dan perbadanan sebagai satu ikhtiar dalam menghadapi kemungkinan berlakunya malapetaka atau bencana yang menimpa harta benda dan barang yang dimiliki oleh diri peserta seperti kebakaran atau kemalangan.

ii) Takaful Keluarga

Takaful Keluarga ialah perlindungan dalam menghadapi malapetaka kematian atau kecederaan ke atas diri seseorang peserta. Jelasnya takaful keluarga adalah satu bentuk perlindungan bagi orang perseorangan yang ingin berikhtiar dengan membuat persediaan menghadapi malapetaka dan bencana yang menimpa ke atas diri sendiri.

Penyertaan anggota masyarakat dalam skim dan pelan takaful yang selari dengan syari’at Islam adalah amat digalakkan dalam Islam sebagai satu usaha yang positifdalam menghadapi kemungkinan kesusahan atau mala petaka yang menimpa. Pihak syarikat sebagai pengusaha takaful sewajarnya memberikan kefahaman yang jelas kepada peserta berkaitan dengan terma-terma perjanjian yang dibuat sebagai langkah mengelakkan silap faham dan kezaliman.

No comments: