Tuesday, December 25, 2007

PRODUK KEWANGAN ISLAM

Berikut adalah produk kewangan islam yang utama :

SIMPANAN

Simpanan dalam bahasa Arab dipaggil sebagai Al-Wadi’ah. Dari segi istilah, simpanan bermaksud harta yang diserahkan oleh seseorang kepada seseorang yang lain supaya dijaga atau diuruskan dan dipulangkan kepada tuannya apabila cukup tempoh atau dituntut oleh tuannya. Dalam konteks semasa, urusan penyimpanan telah diambil alih oleh pihak bank.

Wadi’ah dari segi hukumnya adalah harus. Simpanan hendaklah dianggap oleh pihak penyimpan sebagai barang amanah. Dalil keharusan simpanan jelas dalam Firman Allah (s.w.t) dalam surah Al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud: “Maka hendaklah orang yang berhutang dan dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya”.

KEPENTINGAN SIMPANAN

Simpanan (Al-Wadi’ah) mempunyai beberapa kepentingan yang tertentu. Antaranya ialah:
Membantu umat islam dalam urusan penyimpanan harta bagi menjamin keselamatannya. Ganjaran yang besar di sisi Allah (s.w.t) kepada mereka yang sanggup memegang amanah penyimpanan harta orang lain dengan betul.
Memberi peluang kepada tuan punya harta merasa tenang dan aman lantaran hartanya dijamin dari segi keselamatan.
Mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak atas dasar percaya mempercayai dan ukhwah islamiyyah.
Menaiktambahkan ekonomi umat islam yang antara objektifnya menjaga kepentingan individu dan masyarakat secara serentak.

PINJAMAN

Istilah pinjaman dalam bahasa Arab dinamakan sebagai ‘ariyah. Dari segi istilah pinjaman bermaksud memberikan manfaat sesuatu benda yang halal kepada orang lain dengan tidak menjejaskan atau merosakkan zat (hakikat) benda itu supaya dapat dikembalikan kepada pemiliknya. Manusia secara semulajadinya mempunyai kemahuan untuk mendapatkan sesuatu tetapi kadang kala mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memilikinya. Justeru, Islam mengharuskan manusia berikhtiar untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati dengan kaedah pinjaman.







KEPENTINGAN PINJAMAN

Dalam hal-hal yang tertentu, manusia terdesak untuk membuat pinjaman sama ada dari segi kewangan ataupun barangan. Pinjaman mempunyai fungsi yang penting dalam kehidupan manusia. Antara kepentingannya ialah:
Menyemai rasa tanggungjawab sesama umat islam dan menggalakkan semangat bantu membantu antara umat islam supaya beban mereka yang berada dalam kesusahan dapat diringankan.
Menghindarkan dari segi perbuatan yang buruk seperti mencuri dan meragut barang atau harta kepunyaan orang lain.
Mewujudkan keamanan dalam masyarakat dengan adanya semangat kerjasama dan saling bersatu dalam kesukaran yang dihadapi oleh umat islam yang lain.

RUKUN PINJAMAN

Keharusan islam terhadap pinjaman ini tertakluk kepada rukun dan syarat yang tertentu.
Orang yang memberi pinjaman
Orang yang meminjam
barang yang dipinjamkan
lafaz (aqad)

SYARAT PINJAMAN

Setiap rukun pinjaman yang dinyatakan diatas mempunyai syarat-syarat yang tertentu.
a) Syarat Orang Yang Memberi Pinjaman
i. Orang tersebut mempunyai hak dan kuasa ke atas barang yang dipinjamkan.
ii. Berakal dan baligh
iii. Kerelaan sendiri
iv. Manfaat dan kegunaan barang yang dipinjamkan di bawah kekuasaannya.
v. Bersetuju dengan tujuan dan tempoh pinjaman yang dipohon oleh peminjam.

b) Syarat Orang Yang Meminjam
i. Berakal dan baligh
ii. Mengetahui dalam mengendalikan barang pinjaman dengan betul bagi tujuan keselamatan.
iii. Memulangkan barang pinjaman setelah tamat tempoh pinjaman/ perjanjian.








KESIMPULAN

Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan sempurna telah mengetengahkan satu bentuk ekonomi dan kewangan yang ideal demi menjamin keuntungan individu dan masyarakat secara serentak. Pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara sepenuhnya membawa kearah keamanan dan keadilan sosial. prinsip pegangan dalam ekonomi Islam ialah Allah (s.w.t) sebagai empunya mutlak segala harta kekayaan, manusia pula bertindak sebagai pihak pengusaha yang menjalankan amanah dengan baik , mengamalkan dasar terbuka, tolong-menolong dan bekerjasama dalam masyarakat. Pelaksanaan sistem ini lebih penting lagi menjauhkan manusia dari kemurkaan Allah (s.w.t) dan penyakit hati seperti dengki, khianat, pergaduhan dan kezaliman yang kesannya akan merugikan umat Islam sendiri secara keseluruhannya.

No comments: